Mahu dikatakan kecewa ada juga. Tahun terakhir (tahun kelima) yang sepatutnya kami masih menikmati bayu Banjaran Titiwangsa di Tanjong Malim tidak berlaku. Kami dikehendaki menjalankan latihan mengajar di negeri masing-masing dan terus mengajar selepas itu. Kami tidak akan datang semula ke SITC.
Kami ditempatkan di sekolah-sekolah yang berhampiran dengan maktab perguruan yang ada di negeri masing-masing. Bagi kami yang dari Pahang, satu-satunya institusi pendidikan guru yang ada ialah Pusat Latihan Harian (Day Training Centre) Raub. Kaedah penempatan dibuat begitu bagi memudahkan kami berulang-alik pada hujung minggu untuk mengikuti kursus selanjutnya daripada pensyarah-pensyarah di pusat itu.
Disebabkan sekolah-sekolah kawasan Raub dan Bentong telah diisi oleh pelajar DTC Raub sendiri, maka kami yang dari SITC, MWTC dan Maktab Perguruan Kota Bharu (KBTC) ditempatkan di Lipis. Penempatan dibuat oleh pihak DTC Raub sendiri.
Teman-teman saya dari SITC ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Wan Ibrahim, di bandar Kuala Lipis. Mereka ialah Ismail Latiff, Abdul Hamid Ismail, Zakaria Sulong, Abu Bakar Yusof, Abdul Malek Abdul Rahman, Shamsuddin Awang dan Abdul Rahman Kadir. Zakaria Puteh dan saya pula ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Padang Tengku.
Bagi saya, Lipis adalah wilayah baru yang tidak pernah saya lantas; apatah lagi Padang Tengku. Khabarnya, perhubungan ke Padang Tengku dari Kuala Lipis hanyalah melalui kereta api.
Kami berempat orang dari Pahang Timur (Ismail, Hamid, Malek dan saya) menaiki teksi dari Kuantan dan bermalam di Hotel Central, sebuah hotel murah terletak di simpang jalan masuk ke stesyen kereta api. Hotel itu berbentuk melengkung di bahagian depannya, sesuai dengan struktur jalan raya di situ. Dari hotel ke stesyen kereta api hanya dua minit berjalan kaki. Kami merancang untuk menginap di hotel itu dua tiga malam, sebelum kawan-kawan yang mengajar di Kuala Lipis dapat mencari rumah sewa. Saya sendiri, sekiranya tidak dapat rumah sewa di Padang Tengku akan balik semula tidur di hotel itu pada malam esoknya.
Selepas merehatkan diri, kami turun berjalan-jalan di bandar Kuala Lipis. Baharulah saya tahu bahawa bandar itu hanya ada dua batang jalan, iaitu Main Street dan Jelai Street. Jelai Street terletak di tebing Sungai Jelai. Menyambungkan kedua-dua jalan di bahagian tengah adalah sebuah lorong yang merupakan anak tangga yang dikiri kanannya terdapat gerai jualan. Di situlah terletak Gerai (Kedai Nasi) Haji Mahmud yang menjual semacam rendang yang terkenal dengan nama Rendang Haji Mahmud. Rendang istimewa ini memang sedap, dan disediakan dalam dua jenis masakan iaitu ayam dan daging. Ada juga hati dan limpa. Paling istimewa rendang ini dimakan dengan pulut pada waktu pagi. Biasanya kita kena menunggu beberapa ketika menantikan ada meja atau kerusi kosong untuk menikmati sarapan yang istimewa di situ. Di kedai itulah pertama kali kami menikmati makanan Lipis.
Selepas makan saya mengajak kawan-kawan lain menemani saya ke stesyen kereta api untuk menanyakan jam berapa kereta api pagi ke Padang Tengku bertolak. Memang kereta api pagi itu sesuai dengan masa sepatutnya saya tiba di sekolah. Ini bermakna saya tidak perlulah bermalam di sana.
Saya dapati kedai buku di stesyen itu banyak juga menjual buku, akhbar dan majalah, termasuk buku-buku Indonesia. Ada sebuah lagi kedai buku yang letaknya tidak berapa jauh dari Kedai Haji Mahmud tadi, yang menjual banyak novel Indonesia popular pada masa itu seperti Belenggu, Siti Nurbaya, Tenggelamnya Kapal van der Wijk, Arni, Layar Terkembang, Salah Asuhan, Perburuan dan Midah Si Manis Bergigi Emas. Nanti apabila dapat pocket money saya akan beli sebuah dua buku itu, demikian saya memujuk dan meyakinkan diri saya sendiri.
Malam itu ketika bersiar-siar di kawasan perhentian bas (dekat Hotel Central) kami bertemu dengan beberapa orang guru yang mengajar di Clifford School. Antaranya ialah Cikgu Mohd Kenali Abu Talib yang dikatakan orang Pekan, lulusan Maktab Perguruan Bahasa. Beliau memakai blazer hijau MPB pada malam itu. Saya belum pernah menemuinya dan beliau sendiri belum mengenali saya.
Memanglah, saya tidak mempunyai seorang pun baik saudara mahupun kenalan di Kuala Lipis pada masa itu. Ada seorang sepupu saya, Mohd. Tahir bin Salleh yang tinggal di Tanjung Besar. Tapi, Tanjung Besar bukannya dekat dengan Kuala Lipis.
Balik ke hotel, kami bersiap-siap untuk tidur dan saya bersiap-siap untuk ke Padang Tengku dengan kereta api pagi. Beg barang-barang saya tidak saya bawa pagi nanti, tetapi tinggalkan di hotel, kerana saya akan kembali semula selepas habis sekolah tengah hari esok. Dalam keadaan begitu, saya terlupa semula jam kereta api bertolak pagi esok. Saya terpaksa bergegas ke bawah, berjalan ke stesyen kereta api dan bertanya sekali lagi kepada Stesyen Master. Saya sebutkan yang saya minta maaf kerana ini adalah kali kedua saya bertanyakan perkara yang sama. Kali ini saya mencatatkan waktu yang dinyatakan itu di atas sekeping kertas yang terdapat di kedai surat khabar orang India di situ.
Pagi-pagi keesokannya saya telah terpacak di stesyen. Kedai Haji Mahmud masih belum dibuka, maka saya minum di kedai kopi yang ada di stesyen kereta api buat alas perut. Kereta api sampai. Di dalam gerabak tidak begitu ramai penumpang. Ada lima orang termasuk saya. Salah seorang, seorang wanita muda memakai baju kurung putih dengan kain batik. Banyak juga gelang emas tersarung di lengannya. Bibirnya bergincu dengan dandanan muka dan rambut yang sangat sederhana yang membuatkan beliau kelihatan manis. Saya mengagak beliau pastilah seorang guru; tapi entah mengajar di mana.
Kereta api pagi itu terus membelah kabus menghala ke utara. Hutan belaka di kiri kanan. Tidak berapa lama kemudian sampailah ke tempat yang dituju.
Saya sedar bahawa wanita tadi turut turun di Padang Tengku. Beliau kemudian berjalan keluar dari kawasan stesyen kereta api menghala arah ke kiri. Saya masih belum keluar dari situ, sehingga kereta api bertolak meneruskan perjalanannya entah ke mana.
Pada agakan saya sekolah memang tidak jauh dari situ. Sebelum meneruskan perjalanan, saya cuba bertanya seorang pemuda yang baru sahaja selesai menolong mengangkat bungkusan ke atas kepala seorang wanita, di mana arah untuk ke sekolah. Walaupun di situ ada sekolah Cina, tetapi beliau terus menunjukkan hala ke sebelah kiri, ”Itu nampak pagar sekolah tu,” katanya.
Tidak sampai lima minit berjalan sampailah saya ke sekolah. Sekolah Kebangsaan Padang Tengku terletak di dalam sebuah pagar besar yang di dalamnya juga terdapat Balai Polis, rumah kediaman anggota termasuk rumah OCS = Officer in Charge of the Station yang namanya Datuk Ujang. Kemudian barulah bangunan sekolah dan deretan bagunan lain dijadikan tempat tinggal guru, termasuk rumah Guru Besar, Cikgu Zakaria Derani.
Bergambar berhampiran paip tempat mandi di hadapan bilik kami
di Sekolah Kebangsaan Padang Tengku 1961.
Dari kiri: Yaakub Isa, Mat Zin Bijak dan Zakaria Puteh.
Saya dimaklumkan oleh Cikgu Zakaria bahawa sekolah itu baru dibuka empat tahun yang lalu. Kawasan sekolah adalah bekas kem Special Constables zaman darurat dahulu. Masih banyak rumah yang kosong dan beliau menawarkan saya untuk memilih mana-mana sahaja bilik untuk tempat tinggal semasa mengajar di situ. Dua orang teman saya yang sepatutnya melaporkan diri untuk bertugas pada hari iaitu Zakaria Puteh dan Mat Zin Bijak (pelajar Maktab Perguruan Kota Bharu, berasal dari Pelangai Bentong) masih belum menampakkan muka. Kami kemudiannya ke Bilik Guru. Ah! Betullah, wanita yang saya temui di dalam kereta api pagi tadi adalah salah seorang guru yang bertugas di situ.
Guru-guru yang bertugas di sekolah itu diperkenalkan kepada saya oleh Cikgu Zakaria: Cikgu Abu Bakar Idrus yang merupakan Guru Penolong Kanan, lulusan TUOS, asal Relong; Ustaz Muhammad Mandak, juga orang Relong; Cikgu Wan Safiah Wan Ishak, orang Kuala Tembeling yang juga isteri Cikgu Zakaria Derani; Cikgu Hamidah Abdul Hamid, orang Kuala Lipis (yang saya jumpa dalam kereta api pagi tadi itulah). Cikgu Zakaria juga memberitahu yang Cikgu Hamidah akan bertukar ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Lalang Temerloh sehari dua lagi. Jadi, dengan kami bertiga dan tolak Cikgu Hamidah, guru sekolah itu kelak akan menjadi tujuh orang. Cikgu Zakaria Derani sendiri merupakan orang Relong juga.
(Cikgu Hamidah tidak lama bertugas di Tanjong Lalang kerana khabarnya beliau berkahwin dengan seorang Pegawai Polis, Mohd. Hanif Omar, yang terus cemerlang dalam kerjaya kepolisian sehingga menjawat jawatan Ketua Polis Negara).
Tengah hari itu saya dipelawa makan tengah hari di rumah Cikgu Zakaria. Turut makan bersama ialah Ustaz Muhammad Mandak dan Cikgu Umar Mokhtar (anak saudara Cikgu Zakaria yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Gua tetapi tinggal serumah dengan Cikgu Zakaria di Padang Tengku).
Selepas makan, saya diajak oleh Cikgu Zakaria melihat bilik yang bakal menjadi tempat tinggal saya. Ada satu deretan rumah sekerat papan yang mengandungi 10 unit bilik kediaman. Di hujung sekali akan dijadikan kantin sekolah; bilik nombor 6 dan 7 didiami oleh Cikgu Jamaluddin Imam Uda yang mengajar di Telang. Beliau juga khabarnya orang Relong. Beliau tinggal dengan keluarganya dan menempati dua unit. Saya memilih bilik nombor tiga duntuk tinggal dengan Zakaria dan bilik 4 untuk kawan saya yang dari Bentong itu.
Rumah bekas kediaman pasukan SC itu sangat sederhana. Satu rumah ada dua bilik. Ciri istimewanya ialah dapur terletak di bahagian hadapan rumah. Di bahagian hadapan terdapat paip air yang dilingkungi dengan tembok simen untuk dijadikan penghadang tempat mandi dan cuci-mencuci. Ada bangunan tandas yang berasing dan untuk ke tandas kami terpaksa melingkungi bangunan rumah, sama ada ikut sebelah kiri atau kanan. Kalau dari bilik saya, ikut sebelah kirilah lebih cepat. Orang kampung merujuk kawasan sekolah dan balai polis itu sebagai 'dalam kem'. Ini adalah kesan sejarah lama yang dialami oleh masyarakat di situ sepanjang yang berkaitan dengan kem SC zaman darurat di situ.
Saya tidak dapat mencari kediaman yang lebih baik daripada yang ada itu pada saat begini. Apa lagi yang saya mahu?: Bilik itu sendiri boleh didiami secara percuma pula!
Selepas berehat dan sembahyang zuhur, Cikgu Zakaria mengajak saya berjalan ke bandar Padang Tengku, sebelum saya bertolak ke Kuala Lipis dengan kereta api mel petang dari Tumpat. Yang dikatakan bandar itu hanyalah dua deret kedai: ada pasar, kedai elektrik, kedai kopi (Hailam), kedai runcit, kedai gunting, kedai songkok, kedai jahit. Kedai runcit yang terbesar kepunyaan Tara Singh yang semua orang kenal. Terdapat juga rumah kediaman di kalangan kedai itu, iaitu rumah Yang Berhormat Cikgu Muhammad Nor (wakil rakyat Kawasan Jelai); rumah Khatib Awang; rumah Tengku Kamaruddin Putera, rumah kedai Normin (orang Kampar tukang jahit dan tukang songkok); rumah Yunus (orang Kampar juga, tukang songkok); rumah Pakcik Ghani Arifin yang bakal mengusahakan kantin sekolah; kedai gunting dan beberapa kediaman keluarga Cina yang saya tidak kenali.
Ketika lalu di hadapan salah sebuah kedai kopi, saya ternampak beberapa kumpulan orang Melayu sedang bermain mahjong dengan asyiknya.
Pakcik Ghani yang diperkenalkan oleh Cikgu Zakaria sebentar tadi sanggup menyediakan makan untuk kami bertiga dengan bayaran yang amat berpatutan. Yang Berhormat Cikgu Muhammad Nor Sulaiman (hampir semua orang memanggilnya Ayahteh) yang saya temui tadi merupakan seorang yang sangat merendah hati, peramah dan terpuji. Beliau bertanya saya tentang kawan-kawan UMNO-nya seperti Pakngah Aziz, Cikgu Ali Shariff dan pemimpin UMNO Kuantan yang lainnya. Khatib Awang merupakan Ketua Kampung, iaitu seorang orang tua yang dihormati dan sangat peramah. Rumahnya selalu dijadikan tempat berkumpul guru-guru muda yang kena mengajar di kawasan pedalaman sebelum berangkat ke situ menaiki motorbot atau kenderaan lain. Di hadapan rumah beliaulah kami selalu bermain sepak raga bulat pada waktu petang.
Saya sedang mula mengenali Padang Tengku dan amat bersedia untuk memberikan khidmat kepada anak-anak bangsa di situ.
Petang itu saya bertolak, sebagaimana dijanjikan, dengan kereta api mel ke Kuala Lipis. Kereta api bertolak lewat sedikit kerana, kata orang-orang di situ, 'kereta api santing'. Barulah saya tahu bahawa istilah kereta api beralih landasan yang dalam bahasa Inggerisnnya shunting telah lama menjadi bahasa Melayu di kalangan mereka yang tinggal di kawasan yang ada landasan kereta api. Orang-orang Pekan dan Kuantan tentulah tidak mengerti makna santing dalam konteks ini.
Setiba di Kuala Lipis kami bertukar-tukar cerita. Mereka masih belum dapat mencari rumah sewa. Saya cadangkan supaya mereka tinggal bersama-sama saya di Padang Tengku, rumah percuma; tapi kenalah berulang-alik menaiki kereta api setiap hari.
Selepas makan di Kedai Haji Mahmud kami sambungkan tugas 'merayau' di Kuala Lipis yang serba baru bagi saya, termasuk menyusur tebing Jelai Street, melihat dari atas tebing deretan rumah rakit di sepanjang tebing dari kawasan bandar hingga kira-kira setengah batu ke hilir. Banyak yang saya dengar tentang kawasan itu, hinggakan sempat pula saya mengadun fakta dengan jalinan imaginasi sendiri sehingga terhasillah sebuah cerpen yang berjudul Rumah Rakit dan disiarkan dalam akhbar Utusan Pemuda pada hari Sabtu 22 Mei 1960. Saya gunakan nama Nazir (seorang teman semasa di SITC yang senior setahun daripada saya yang pada masa itu mengajar di Sungai Koyan) sebagai tokoh utama cerpen tersebut. Cikgu Nazir Yaakub menyedari namanya terpalit dalam cerpen saya; dia tidak marah, sebaliknya hanya ketawa sahaja.
Malam itu, di Hotel Central, kami menjenguk ke luar tingkap dan melihat banyak betul burung layang-layang bertenggek pada wayar elektrik di sepanjang bandar Kuala Lipis, hingga wayarnya tidak kelihatan sama sekali. Burung-burung itu tidak kuasa terbang lagi, mungkin keletihan terbang mencari rezeki sepanjang hari. Saya melastik dengan getah gelang kumpulan yang paling hampir. Mereka mengira-ngirai bulu, terbang sebentar dan kembali semula ke tempat asalnya. Sahlah unggas itu sangat keletihan. Cuma mata saya yang masih belum mengantuk. Malam ini malam terakhir saya bersama rakan-rakan dari Pekan di Hotel Central. Malam esok saya akan tidur 'dalam kem' di Padang Tengku.
Waktu kereta api bertolak pagi esok saya sudah ingat; jadi tidak perlu menyusahkan Stesyen Master lagi macam semalam. Untuk menjadi pengguna kereta api saya mestilah menghafal jadual kereta api bertolak dan masa tibanya di stesyen tertentu - kecualilah kalau kereta api itu santing (shunting), maka jadual menjadi let (late) - dua patah bahasa Inggeris yang telah masuk ke dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu di kalangan mereka yang tinggal di tepi landasan kereta api.
Walaupun saya kena berkhidmat di kawasan luar bandar, tetapi Allah SWT merahmati saya dengan memberikan kemudahan dalam bentuk lain pula. Syukran, ya Ilahi!
Walaupun saya kena berkhidmat di kawasan luar bandar, tetapi Allah SWT merahmati saya dengan memberikan kemudahan dalam bentuk lain pula. Syukran, ya Ilahi!
3 comments:
Cikgu, Saya membaca coretan ini dengan teliti terutama tentang bapa saudaraku Hj Zakaria Derani dan juga emak saudara saya . Mereka berdua telah kembali keRamatullah dan saya doakan mereka dimasukan kedalam golongan solehin.Berkat kegigihan bapa saudara saya itu beliau telah kembali semula menjadi Pengetua SMKPadang Tengku kemudiannya yang menjadikan saya salah seorang pelajar cemerlang bersama Dr Johari Mat Akhir, Cikugu Adnan Kadir dan lain-lain yang menjadikan saya tercampak keSekolah Menengah Sultan Abdul halim, Jitra (Sekolah Terbaik Sekarang)kerana methodologi pengajaran beliaulah, tanpa mengenakan bayaran kepada pelajar-pelajarnya bagi kelas tambahan yang diadakan bukan seperti yang diamalkan sekarang.
Dr Aminudin
Dr. Aminudin,
Pertama saya mengucapkan tahniah di atas kejayaan Dr. dalam bidang pendidikan; tidak kurang juga betapa sucinya jiwa Dr masih sanggup mengenangi jasa mereka yang mendidik Dr. Masa sekarang bilangan orang yang memilik hati suci begini dah berkurangan.
Allahyarham seorang yang sangat baik, tegas dan dedikasi dalam kerjaya beliau. Saya ucapkan Selamat Hari Raya dan mendoakan agar Dr maju jaya dalam segala lapangan hidup.
Satu coretan yg amat menarik mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak saya di Lipis dan Padang Tengku. Saya mula bersekolah di SKPT pada tahun 1973 hingga 1975 (darjah tiga hingga darjah 6) ...
Post a Comment